AGENDA

329 sekolah, institusi pendidikan alami kerosakan akibat ribut

10 Ogos 2019, 2:24 PM
329 sekolah, institusi pendidikan alami kerosakan akibat ribut

GEORGE TOWN, 10 OGOS: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengenal pasti 329 sekolah dan Institusi Pendidikan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang dan Terengganu, yang mengalami kerosakkan akibat dilanda Taufan Lekima semalam.

Dalam satu kenyataan, pihak KPM menganggarkan kerosakkan di tujuh negeri tersebut berjumlah RM20 juta dan tindakan sedang diambil, untuk membaiki kerosakkan tersebut.

"Kementerian Pendidikan Malaysia sedang mengambil tindakan segera, membaiki kerosakan yang berlaku dengan menyalurkan peruntukan kecemasan kepada Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dan agensi yang terlibat, supaya tindakan pembaikan dapat dilaksanakan serta-merta," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, setakat 5 petang hari ini, kerosakan yang dilaporkan di tujuh negeri-negeri adalah Kedah melibatkan 115 sekolah, tiga kompleks kuarters, sebuah Institut Latihan dan dua Institut Pendidikan Tinggi Awam; Pulau Pinang melibatkan 101 sekolah, empat kompleks kuarters dan dua Institut Latihan dan Perlis melibatkan 58 sekolah.

Selain itu, kerosakkan akibat ribut turut dilaporkan di Selangor melibatkan 32 sekolah dan sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Awam; Terengganu melibatkan tujuh sekolah dan sebuah Institut Latihan; Perak melibatkan sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Awam; dan Pahang melibatkan sebuah sekolah.

Hujan lebat dan angin kencang melanda beberapa tempat di Pulau Pinang, Perlis dan Kedah malam tadi, mengakibatkan banyak kejadian pokok tumbang dan bumbung diterbangkan angin, selain kerosakan fizikal terhadap kemudahan awam dan menjejaskan lalu lintas.

Di Pulau Pinang, dilaporkan 300 kejadian pokok tumbang dengan tiga buah pusat pemindahan sementara dibuka, melibatkan 71 mangsa, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Tinjauan Bernama setakat 8 malam mendapati ketiga-tiga pusat pemindahan iaitu Masjid Kuala Juru, Dewan Kafa Kuala Juru di Seberang Perai, dan satu lagi di Masjid Hashim Yahya di bahagian pulau negeri, masih dibuka, untuk penempatan sementara mangsa-mangsa yang rumah mereka mengalami kerosakkan struktur.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.