ad
AGENDA

OP SAR: Suara ibu Nora Anne 'bergema' di hutan

8 Ogos 2019, 10:46 AM
OP SAR: Suara ibu Nora Anne 'bergema' di hutan

NILAI, 8 OGOS: "Nora darling, Nora I love you...mom is here”.

Itu antara ayat daripada rakaman suara Meabh Jaseprine Quoirin, ibu kepada Nora Anne Quoirin, 15, yang ‘bergema’ dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja itu, hari ini.

Panggilan ibu remaja itu mula kedengaran di sekitar kawasan hutan itu tengah hari ini apabila pasukan mencari dan menyelamat memainkan rakaman suara wanita itu memanggil anaknya melalui alat pembesar suara dalam usaha mengesan remaja berkenaan.

Rakaman itu akan terus dimainkan pada alat pembesar suara dan telefon anggota di enam zon pencarian sepanjang operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan secara bersepadu membabitkan lebih 200 anggota dengan diketuai unit Senoi Praaq.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop pada sidang akhbar petang ini berkata suara ibu remaja yang juga anak istimewa itu dirakam pagi ini yang mana beliau adalah individu paling rapat dengan Nora Anne.

Ditanya sama ada ibu bapa remaja itu turut menyertai operasi mencari dan menyelamat, Mohamad berkata setakat ini pihaknya tidak menggalakkan mereka ikut serta dalam operasi itu atas faktor keselamatan.

Operasi mencari dan menyelamat remaja itu memasuki hari kelima hari ini, selepas dia dilapor hilang, pada 4 Ogos lalu.

Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran tiba bersama keluarganya dari London sehari sebelum itu untuk percutian dua minggu di sebuah resort, di sini.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya, pada 8 pagi.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.