ad
AGENDA

PM: Penggunaan khat di sekolah boleh diteruskan

3 Ogos 2019, 12:40 PM
PM: Penggunaan khat di sekolah boleh diteruskan
PM: Penggunaan khat di sekolah boleh diteruskan

MELAKA, 3 OGOS: Penggunaan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat boleh diteruskan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Merujuk bantahan sesetengah pihak mengenai perkara itu, Perdana Menteri berkata, ia hanya membabitkan sebahagian kecil masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan berpegang kepada dasar kemakmuran bersama dan tidak pernah menghalang penggunaan tulisan bahasa lain.

“Kita tak pernah bantah tulisan lain (termasuk) dalam bahasa Cina kerana ini adalah sesuatu yang istimewa di negara kita ini.

“Tulisan bahasa Cina tidak dibenarkan di negara lain seperti Indonesia umpamanya, Filipina dan Thailand, mereka guna tulisan mereka,” katanya menjawab pertanyaan seorang peserta Townhall Semarak Merdeka bersama Perdana Menteri, di sini mengenai bantahan penggunaan tulisan khat.

Kenyataan Perdana Menteri itu menerima tepukan gemuruh ratusan hadirin pada sesi townhall itu yang diadakan sempena kunjungan Dr Mahathir ke Melaka bagi merasmikan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang akan berlangsung di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, malam ini.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pemimpin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP menggesa anggota Kabinet daripada parti itu membantah rancangan memperkenalkan tulisan khat dalam kurikulum Tahun Empat Bahasa Melayu bermula tahun hadapan.

Bagaimanapun Kementerian Pendidikan dalam kenyataan semalam, menegaskan bahawa pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat akan dilaksanakan tahun hadapan seperti dijadual.

Dr Mahathir berkata, tulisan khat adalah satu seni yang tinggi dan ketika kunjungan beliau ke Turki baru-baru ini, beliau melihat rakyat negara itu amat mahir dalam penulisan khat walaupun mereka juga menggunakan tulisan rumi.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.