ad
AGENDA

Lebih 3,000 pelajar Pasir Gudang terima sokongan psikologi

27 Jul 2019, 1:00 PM
Lebih 3,000 pelajar Pasir Gudang terima sokongan psikologi

KULAI, 27 JUL: Lebih 3,000 pelajar sekolah di Pasir Gudang yang terjejas akibat insiden sesak nafas dan muntah-muntah susulan kes pencemaran udara di kawasan itu bulan lepas, menerima sokongan psikologi dan trauma setakat ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Selahuddeen Abdul Aziz berkata pelajar berkenaan melibatkan 50 sekolah di sekitar Pasir Gudang termasuk sekolah yang awal terjejas iaitu Sekolah Agama Taman Mawar.

"Ia membabitkan sekolah rendah dan menengah dan mereka akan menerima sokongan psikologi ini daripada pakar unit psikologi lima hospital termasuk Hospital Sultan Ismail, Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Permai di Johor Bahru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Jom Kenal Ubat, di sini hari ini.

Selahuddeen berkata, antara kaedah rawatan yang diberikan kepada kesemua pelajar berkenaan adalah aktiviti interaktif dan kaedah mengatasi trauma.

Beliau berkata,sokongan psikologi tersebut merupakan usaha berterusan pihaknya semenjak insiden pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Mac lalu.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.