ad
AGENDA

KKMM komited beri penerangan program, dasar kerajaan

25 Jul 2019, 3:10 AM
KKMM komited beri penerangan program, dasar kerajaan

PUTRAJAYA, 25 JULAI: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) komited dalam usaha memberi penerangan, penjelasan dan kefahaman kepada masyarakat keseluruhan berhubung program atau dasar kerajaan.

Komitmen berkenaan dinyatakan Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Suriani Ahmad ketika merasmikan sesi Taklimat Isu Semasa siri 3 KKMM: Bantuan Sara Hidup (BSH), Skim Perlindungan Kesihatan Nasional B40 dan Skim Peduli Kesihatan B40 di kementerian itu hari ini.

Beliau berkata, KKMM melalui Bahagian Komunikasi Strategik melaksanakan beberapa siri taklimat membabitkan penerangan berhubung isu Tabung Haji, penyusunan semula Felda, jenayah pemerdagangan orang, penyeludupan migran serta jenayah siber.

"Saya percaya kerjasama pintar, perkongsian dan pertukaran maklumat seperti ini mampu melengkapkan warga kerja KKMM sebagai ejen penyampai maklumat kerajaan yang cekap dan berkesan melalui pendekatan komunikasi menyeluruh.

"Penggunaan pelbagai medium dalam inisiatif menyebar luaskan fakta sebenar menghindari orang ramai dari terpengaruh dengan berita tidak benar," katanya.

Suriani berkata taklimat hari ini adalah salah satu daripada tanggungjawab KKMM dalam melaksanakan tindakan agenda promosi dan publisiti nasional bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap keprihatinan kerajaan menjaga kebajikan, memberikan bantuan kewangan dan penjagaan kesihatan kepada golongan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Taklimat pada hari ini disampaikan penceramah dari Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.