ad
BERITA UTAMA

TPM mahu penjualan 'Ghost Smoke' dihenti segera

22 Jul 2019, 3:04 PM
TPM mahu penjualan 'Ghost Smoke' dihenti segera

PUTRAJAYA, 22 JUL: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’ yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut dihentikan segera.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada masa yang sama meminta ibu bapa meningkatkan pemantauan ke atas anak masing-masing.

“Saya tidak mahu perkara ini menjadi penyakit masyarakat yang menular dalam kalangan kanak-kanak dari kecil lagi,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai ‘Ghost Smoke’ selepas majlis Siri Wacana Sri Satria di sini hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan mengenai kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula berkenaan yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Dr Wan Azizah juga tidak menolak kemungkinan gula-gula berkenaan boleh menjadi permulaan kepada masalah penagihan dadah.

"Dulu smoking (merokok), kemudian dadah dan syabu," katanya.

Pada majlis Wacana Ilmu Sri Satria hari ini, Ketua Jabatan Perpustakaan dan Sains Maklumat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Roslina Othman menyampaikan syarahan bertajuk ‘Model Ansar dan Muhajirin Dalam Pengurusan Pelarian’.

Wacana itu merupakan idea Dr Wan Azizah sendiri untuk mengimarahkan Sri Satria, yang merupakan kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, sebagai pusat perkembangan ilmu.

Seorang tokoh akan menyampaikan syarahan sebulan sekali bagi berkongsi ilmu yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negara. - BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.