ad
NASIONAL

Insiden sesak nafas: JAS tumpu tapak pelupusan sampah pula

23 Jun 2019, 2:51 PM
Insiden sesak nafas: JAS tumpu tapak pelupusan sampah pula

JOHOR BAHRU, 23 JUN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan melakukan pemantauan agresif terhadap tapak pelupusan haram di Pasir Gudang esok, bagi mengenalpasti punca sebenar berlaku insiden sesak nafas di beberapa buah sekolah sejak Khamis.

Ini susulan JAS percaya tapak pelupusan itu turut berpotensi menyumbang kepada punca kejadian.

Pengarahnya Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata selain tapak pelupusan haram, pihaknya juga akan memeriksa semula kawasan Sungai Kim Kim yang terjejas akibat pembuangan sisa buangan kimia pada Mac lepas.

“Kita takut orang buang sesuatu somewhere, sebab itu kita akan buat rondaan (pemantauan) dengan menggunakan drone dan kaedah lain,” katanya yang dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata dijangkakan seramai 150 anggota penguatkuasa akan terbabit dalam operasi tersebut.

“Kita juga akan mendapatkan bantuan daripada syarikat konsesi JAS untuk menggunakan mobile unit mereka bagi memantau kualiti udara dengan parameter yang lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata buat masa ini, pemantauan pihaknya tertumpu di sekolah yang terjejas dan kilang berdekatan dengan kekerapan pemeriksaan adalah setiap empat jam menggunakan alat ‘multi gas detector’. - BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.