ad
SELANGOR

Datuk Bandar Shah Alam baharu tumpu lima agenda utama

12 Jun 2019, 4:35 AM
Datuk Bandar Shah Alam baharu tumpu lima agenda utama
Datuk Bandar Shah Alam baharu tumpu lima agenda utama

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 JUN: Lima agenda utama menjadi tumpuan Datuk Bandar Shah Alam baharu, selaras visi menjadikan bandar raya itu lebih berkualiti, sejahtera, kondusif dan terunggul.

Dato’ Haris Kasim berkata, agenda pertama ialah menumpukan perkhidmatan perbandaran terutama pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Katanya, hal itu kerana isu terbabit menjadi sensitiviti masyarakat jika tidak dilaksanakan dengan baik.

"Kedua, saya mahu MBSA mendekati masyarakat melalui aktiviti turun padang kerana menjadi kewajipan untuk mengambil maklum masalah dihadapi pembayar cukai supaya dapat menyenangi mereka dengan konsep 'face to face'.

"MBSA juga akan mempelbagaikan perkhidmatan dalam talian melalui pembudayaan teknologi dan ia akan diterapkan melalui agenda ketiga," katanya ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Datuk Bandar Shah Alam, di Wisma MBSA hari ini.

Haris berkata, melalui agenda keempat, MBSA juga perlu mengukuhkan kewangan melalui peningkatan kutipan hasil.

Katanya, beliau sedia maklum MBSA mempunyai tunggakan kutipan melalui aset dimiliki dan kesemua pihak perlu mencari alternatif bagi mendapatkan tunggakan berkenaan.

"Terakhir melalui agenda kelima, MBSA perlu memperkasakan sumber manusia kerana ia adalah asas utama kepada sesebuah organisasi.

"Besarlah harapan saya untuk melihat ahli majlis dan pengurusan tertinggi yang dibarisi pelbagai golongan mempunyai latar belakang, pengetahuan dan pendidikan dapat membantu saya mencorak kejayaan MBSA serta memastikan organisasi ini terus mencipta kecemerlangan," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.