ad
NASIONAL

JAKOA sedia logistik kepada agensi kerajaan

9 Jun 2019, 10:14 AM
JAKOA sedia logistik kepada agensi kerajaan

KUALA KRAI, 9 Jun : Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan menyediakan kemudahan logistik terutama kemudahan pengangkutan kepada agensi kerajaan untuk menjalankan siasatan berhubung jangkitan penyakit radang paru-paru membabitkan masyarakat Orang Asli suku kaum Batik di Kuala Koh, Gua Musang.

Ketua Pengarahnya Prof Dr Juli Edo berkata pihaknya akan bekerja rapat dengan pelbagai agensi terutama terhadap dakwaan berlakunya pencemaran air disebabkan aktiviti perlombongan yang menjadi sumber air kepada penduduk.

"JAKOA kini sedang merancang untuk membekalkan air mentah kepada penduduk sebagai bantuan awal kepada mereka berikutan munculnya dakwaan sumber air mereka telah tercemar.

"Harapan kami di JAKOA supaya penyakit berkenaan bukanlah penyakit berjangkit yang merebak," katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi 10 pesakit Orang Asli di Hospital Kuala Krai di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Senator Datuk Husam Musa.

Juli berkata terdapat 196 penduduk Orang Asli suku kaum Batik membabitkan 52 keluarga yang menghuni perkampungan di Kuala Koh. -BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.