ad
SUKANKINI

UEL: Chelsea mudah tewaskan Arsenal 4-1

29 Mei 2019, 11:41 PM
UEL: Chelsea mudah tewaskan Arsenal 4-1
UEL: Chelsea mudah tewaskan Arsenal 4-1

OLEH AFIX REDZUAN

BAKU, 30 MEI: Chelsea menjulang trofi Liga Europa (UEL) penuh bergaya awal pagi tadi selepas menewaskan Arsenal 4-1, pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan.

Eden Hazard muncul wira The Blues apabila meledak dua jaringan di babak kedua bagi membolehkan skuad Maurizio Sarri menyekat impian Arsenal untuk menyertai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) secara automatik musim hadapan atas kapasiti selaku Juara UEL.

Arsenal terlebih dahulu mengasak pada minit kelapan menerusi hantaran Ainsley Maitland-Niles tetapi berjaya ditumbuk keluar penjaga gol, Kepa Arrizabalaga dan tindakan susulan Pierre-Emerick Aubameyang gagal menepati sasaran.

Granit Xhaka mencuba dari luar kotak penalti Chelsea pada minit ke-27 tetapi percubannya sekadar melambung tinggi.

Tanpa jaringan pada babak pertama, Chelsea memulakan langkah kanan di babak kedua dengan gol pembukaan Olivier Giroud yang berjaya menanduk masuk hantaran Emerson pada minit ke-49.

Pedro menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-60 apabila berjaya melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan penjaga gol The Gunners, Petr Cech hasil tolakan Hazard.

Hazard menyempurnakan sepakan penalti lima minit kemudian bagi membolehkan Chelsea selesa mendahului 3-0 selepas Giroud dijatuhkan Maitland-Niles.

Arsenal cuba merapatkan kedudukan 3-1 pada minit ke-69 hasil jaringan cantik Alex Iwobi tetapi Hazard meleburkan sisa kebangkitan lawan dengan gol kedua peribadi bagi kedudukan 4-1 buat Chelsea.

Kedudukan 4-1 kekal sehingga tamat permainan sekaligus memastikan Piala UEL di bawa pulang ke Stamford Bridge.

Foto Ihsan: Premier League & Europa League

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.