ad
SELANGOR

Jelajah Kasih Ramadan MPSJ bantu 30 asnaf

20 Mei 2019, 2:22 AM
Jelajah Kasih Ramadan MPSJ bantu 30 asnaf
Jelajah Kasih Ramadan MPSJ bantu 30 asnaf
Jelajah Kasih Ramadan MPSJ bantu 30 asnaf

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 20 MEI: Seramai 30 asnaf menerima sumbangan berupa juadah sahur dan barangan keperluan asas harian bernilai RM200 pada Program Jelajah Kasih Ramadan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategiknya, Azfarizal Abdul Rashid berkata, program berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama Syarikat Aeon Big (M) Sdn Bhd dan Masjid Al-Falah USJ 9.

Katanya, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan menyambut Ramadan, selain memberi pengajaran dan menanam nilai positif seperti rasa bersyukur kepada peserta.

"Antara barangan keperluan yang disumbangkan adalah beras, minyak dan gula kepada asnaf yang dikenalpasti di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu masing-masing 10 penerima di Subang, Kinrara dan Sri Serdang.

"Sumbangan ini diserahkan terus kepada penerima melalui kunjungan ke rumah mereka," katanya dalam kenyataan.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohamad Zulkurnain Che Ali turut serta menjayakan program terbabit dengan menyerahkan sumbangan kepada penerima ketika waktu sahur.

Dalam program sama, MPSJ turut menyampaikan juadah sahur kepada anggota keselamatan di IPD Subang Jaya dan IPD Serdang bagi menghargai jasa serta pengorbanan anggota agensi keselamatan.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.