ad
NASIONAL

Jalan TAR dibuka semula pada hari minggu bermula 11 Mei

8 Mei 2019, 2:55 PM
Jalan TAR dibuka semula pada hari minggu bermula 11 Mei

PUTRAJAYA, 8 MEI: Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) yang ditutup kepada semua kenderaan persendirian pada hujung minggu, akan dibuka semula kepada kenderaan pada 11 Mei ini untuk memudahkan orang ramai membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.

Beliau kata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Batu Road Retailers Association (BARRA) dan Masjid India Business Association (Miba).

"Oleh kerana ia merupakan bulan puasa dan menjangkakan jualan meningkat khususnya menjelang Hari Raya, mereka mohon jalan ini dibuka untuk hari minggu untuk persiapan membeli belah untuk Raya.

"Maka selepas berbincang bersama, kita membuat keputusan Jalan TAR akan dibuka kembali pada hari Sabtu dan Ahad sehingga hujung bulan Syawal supaya pembeli boleh datang dan dapat kemudahan membeli-belah," katanya.

Pada 12 Februari lepas, Khalid dilaporkan berkata penutupan jalan itu dilakukan berikutan cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu menjadikan jalan sepanjang kira-kira satu kilometer itu sebagai kawasan pejalan kaki.

Pada 12 Mac lepas, Khalid berkata, rancangan menjadikan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) sebagai kawasan pejalan kaki akan dilaksanakan secara percubaan pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang April lepas.

SUMBER: BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.