ad
GLOBAL

UCL: ‘Away Goal’ Spurs ranapkan impian City

18 Apr 2019, 12:03 AM
UCL: ‘Away Goal’ Spurs ranapkan impian City

OLEH AFIX REDZUAN

MANCHESTER, 18 APR: Peraturan gol di tempat lawan meleburkan impian Manchester City untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) walaupun terikat 4-4 menerusi agregat ketika bertemu Tottenham Hotspur awal pagi tadi.

Dalam aksi di Stadium Eitihad, jaringan Fernando Llorente pada minit ke-73 sudah memadai untuk Spurs meranapkan impian The Citizen walaupun tewas 4-3.

Raheem Sterling memulakan kebangkitan buat City dengan jaringan seawal minit ke empat apabila berjaya merembat masuk dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Hugo Lloris.

Tiga minit kemudian, Heung-Min Son menyamakan kedudukan 1-1 buat Spurs selepas merembat masuk melepasi jangkauan Ederson di gawang City.

Giliran Spurs yang beraksi tanpa kelibat Harry Kane di hadapan 1-2 pada minit ke-10 sekali lagi menerusi Son dan pemain Korea Selatan itu melakukan rembatan dari luar kotak penalti sebelum Bernardo Silva menjadikan kedudukan 2-2 buat City seminit kemudian.

Pesta jaringan berterusan 10 minit kemudian apabila Sterling kembali meletakkan skuad kendalian Pep Guardiola di hadapan 3-2 apabila mudah menolak masuk hantaran Kevin De Bruyne.

Bersambung babak kedua, Sergio Aguero menjadikan kedudukan 4-2 pada minit ke-59 apabila melepaskan rembatan kencang menewaskan Lloris.

Ketika perlawanan masih berbaki kurang 15 minit, Llorente muncul wira Spurs apabila menampan sepakan penjuru Kieran Trippier untuk pasukan pelawat merapatkan jurang 4-3.

Pemain The Citizen cuba membantah jaringan itu dan mendakwa Llorente menggunakan tangan tetapi video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan jaringan itu kerana bola terkena peha penyerang Spurs sebelum menerjah jaring.

Kejayaan ini menyaksikan Spurs mengulangi kecemerlangan ketika era 80an untuk mara ke separuh akhir UCL dan dijadualkan bertemu Ajax Amsterdam.

KREDIT FOTO: UEFA CHAMPIONS LEAGUE

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.