ad
SELANGOR

JBPM Selangor mohon kuota perumahan

16 Apr 2019, 6:29 AM
JBPM Selangor mohon kuota perumahan

BANGI, 16 APRIL: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor memohon Kerajaan Negeri menimbang cadangan menyediakan kuota khas perumahan bagi anggotanya yang berpangkat rendah.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada Dato' Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, dalam masa terdekat bagi kuota khas berkenaan untuk projek di bawah Kerajaan Negeri.

"Ramai anggota bomba golongan berpendapatan rendah di negeri ini masih belum memiliki rumah sendiri kerana ramai berasal dari tempat lain ditambah faktor kos sara hidup yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat Bangi di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa anggota bomba menyertai koperasi bomba bagi mendapatkan kemudahan berkaitan insurans, kewangan dan perumahan ke arah memelihara kebajikan mereka.

Dalam perkembangan lain, Norazam berkata pihaknya menerima 20,591 panggilan kecemasan pada tahun lepas, antaranya 7,223 panggilan membabitkan pemadaman kebakaran dan 13,283 operasi menyelamat.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.