ad
NASIONAL

Insiden Pengerang: MB bawa cadangan penduduk ke Mesyuarat EXCO

15 Apr 2019, 11:04 PM
Insiden Pengerang: MB bawa cadangan penduduk ke Mesyuarat EXCO

KOTA TINGGI, 16 APRIL: Kerajaan Johor akan membawa cadangan penduduk kampung berdekatan projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), terutama yang terjejas dengan letupan dan kebakaran di situ baru-baru ini, ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk dibincangkan.

Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, kerajaan negeri mengambil maklum kebimbangan dan cadangan penduduk yang terkesan dengan insiden itu termasuk yang menyuarakan hasrat untuk berpindah.

"Berhubung sebarang isu, sama ada soal pemindahan, semua kita akan bawa ke MMK dan berbincang juga dengan Petronas serta pihak berkaitan, penyelesaian terbaik yang boleh diambil,” katanya ketika berucap di Masjid Kampung Lepau, di sini, semalam.

Katanya, kerajaan negeri akan cuba membantu penduduk yang terjejas sebaik mungkin dan meminta supaya mereka bersabar.

Pada masa sama, Dr Sahruddin turut berharap Petronas membuat “engagement” bersama penduduk supaya memahami masalah dihadapi mereka terutama yang tinggal berhampiran dengan projek berkenaan.

Kampung Lepau, yang terletak kira-kira satu kilometer dari projek berkenaan adalah antara yang terjejas akibat insiden letupan dan kebakaran di kompleks berkenaan, pada 12 April lalu.

Kediaman penduduk turut mengalami kerosakan susulan insiden berkenaan termasuk siling jatuh, retak pada dinding rumah dan pintu kaca pecah.

Kampung itu mempunyai 67 rumah dan lebih 100 penduduk. -BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.