ad
SELANGOR

Mangsa ribut senyum, syukur terima rumah baharu

13 Apr 2019, 12:54 AM
Mangsa ribut senyum, syukur terima rumah baharu
Mangsa ribut senyum, syukur terima rumah baharu
Mangsa ribut senyum, syukur terima rumah baharu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

GOMBAK, 13 APR: Senyum lebar tidak lekang daripada raut wajah 13 keluarga penerima kunci kediaman baharu sebagai tanda terharu dan bersyukur atas komitmen Kerajaan Negeri membina semula kehidupan mereka.

Seorang mangsa, Salimah Dahari, 52, berkata, beliau bersyukur kerana Kerajaan Negeri tampil membantu menempatkannya sekeluarga di tempat baharu, sekali gus membuktikan keprihatinan terhadap mangsa bencana.

Katanya, bersama tiga anak lelakinya, kini mereka dapat menetap di kediaman lebih selesa dan sempurna biarpun sukar meninggalkan rumah lama milik arwah bapanya yang menyimpan banyak kenangan bersama.

"Saya menetap di rumah lama sejak dari lahir lagi. Kalau diikutkan memang sukar untuk terima kenyataan kehilangan rumah pusaka milik arwah bapa, namun kami terima seadanya.

"Alhamdulillah..kami sekeluarga amat berterima kasih kepada wakil rakyat di sini yang berusaha memastikan kami dapat rumah baharu," katanya ketika ditemui selepas menerima kunci rumah berkenaan.

 

Penyerahan kunci rumah kediaman itu yang masing-masing bernilai RM42,000 seunit disempurnakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, di Masjid Zakaria, Gombak Utara, di sini, malam tadi.

Seorang lagi penerima, Amirah Ariffin, 53, berkata, dia menghargai inisiatif Kerajaan Negeri kerana memahami masalah kebajikan mangsa ribut petir yang terpaksa berdepan kesempitan hidup selepas dilanda musibah berkenaan.

"Keadaan rumah selepas dihimpap pokok sangat teruk sehingga saya tidak sanggup mengingatkan kembali kejadian pokok tumbang yag berlaku secara tiba-tiba.

"Apabila dapat berpindah ke rumah baharu ini, tiada apa yang dapat saya katakan melainkan syukur kerana dapat tinggal di rumah lebih selesa bersama anak," katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.