ad
NASIONAL

Kementerian Pertahanan meterai kontrak RM3.67 bilion

28 Mac 2019, 2:14 PM
Kementerian Pertahanan meterai kontrak RM3.67 bilion

LANGKAWI, 28 MAC: Kementerian Pertahanan menandatangani tujuh kontrak program perolehan dan kerjasama industri bernilai RM3.67 bilion di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19).

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, kebanyakan kontrak perolehan adalah penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi aset pertahanan strategik sedia ada.

“Ini untuk memastikan kesediaan keselamatan dan pertahanan semasa negara berada pada tahap optimum," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu, di sini hari ini.

Beliau berkata, kementerian sudah menandatangani 31 kontrak dan memorandum persefahaman (MoU) di LIMA'19.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata, kerajaan akan terus mempertimbang pemerolehan aset pertahanan strategik baharu, dengan mengambil kira kecanggihan teknologi semasa dan ancaman keselamatan bukan tradisional.

Menurut satu kenyataan oleh kementerian itu, antara yang terbesar adalah kontrak penyenggaraan Airod Sdn Bhd untuk penyenggaraan gabungan bagi besawat orang kenamaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang terdiri daripada pesawat Falcon 900, Global Express dan Black Hawk S70A.

Ia berkata, Airod juga dianugerahkan kontrak untuk penyenggaraan, baik pulih, ujian, kalibrasi, pembaikan, pembetulan kecacatan, pengubahsuaian peralatan, bantuan teknikal, fabrikasi dan pembekalan bahan untuk pesawat dan peralatan kerajaan, TUDM Hawk MK108/208, TUDM C130 dan peralatan.

LIMA'19, berlangsung dari 26 hingga 30 Mac di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resorts World Langkawi (RWL), disertai 406 syarikat, kebanyakannya daripada industri berkaitan pertahanan.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.