ad
BERITA UTAMA

Gempa Lombok: Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew terbunuh

17 Mac 2019, 4:24 PM
Gempa Lombok: Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew terbunuh
Gempa Lombok: Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew terbunuh

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily, Datin Tai Siew Kim terbunuh dalam gempa bumi berukuran lebih 5.0 pada skala Richter di Pulau Lombok, Indonesia, semalam.

Petugas Meja Bahasa Mandarin BERNAMA melaporkan Siew Kim, 56, sedang bercuti bersama dengan anak lelakinya serta sekumpulan rakan sekolah lamanya di Lombok semasa kejadian.

Mereka berada di pulau itu sejak 14 Mac lalu dan dijadualkan pulang ke Kuala Lumpur hari ini.

Anak lelakinya yang berumur 20 tahun yang mengalami kecederaan, sedang menerima rawatan di sebuah hospital di pulau itu.

Suami Siew Kim, Ketua Pengarang China Press, Datuk Teoh Yang Khoon berlepas ke Lombok, pagi ini.

Terdahulu, Gempa pertama berukuran 5.8 pada skala Richter berlaku sekitar jam 2.07 petang waktu Indonesia barat di kedudukan 24km timur laut Lombok Timur-Nusa Tenggara Barat.

Jabatan Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia melaporkan bahawa ia disusuli dengan dengan satu lagi gempa berukuran 5.2 pada skala Richter berpusat 7 km barat laut Lombok Timur-Nusa Tenggara Barat pada pukul 2.09 petang.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.