ad
BERITA UTAMA

Gempa Lombok: Seorang rakyat Malaysia maut, 6 hilang

17 Mac 2019, 1:50 PM
Gempa Lombok: Seorang rakyat Malaysia maut, 6 hilang

SHAH ALAM, 17 MAC: Seorang rakyat Malaysia disahkan terkorban, manakala enam lagi hilang dalam insiden gempa bumi di Lombok Timur, Indonesia, hari ini.

Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, kesemua mangsa dikatakan berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru ketika gempa bumi melanda, pada 2.07 petang waktu tempatan.

“Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerima laporan bahawa seorang warga Malaysia terkorban, manakala enam lagi belum dapat dikesan dalam kejadian itu.

“Usaha mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan pihak berkuasa tempatan dan hingga kini mereka masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden itu,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan gegaran ekoran gempa bumi itu turut dirasai di kawasan Lombok Utara, Lombok Timur, Lombok Barat, Lombok Tengah, Mataram di Nusa Tenggara Barat dan sebahagian kawasan selatan Pulau Bali.

Kementerian Luar turut melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap semua mangsa dan keluarga mereka ekoran insiden gempa bumi berkenaan.

"Rakyat Malaysia yang terjejas ekoran bencana itu diminta menghubungi Kedutaan Besar Malaysia, di Jakarta di talian 62215224947/6281380813036 dan Wisma Putra di talian 03-88874570.

“Kementerian Luar menasihatkan supaya rakyat Malaysia melaporkan diri dengan kedutaan dan patuh kepada arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.