ad
NASIONAL

Parlimen bakal miliki pusat asuhan kanak-kanak

18 Feb 2019, 8:28 AM
Parlimen bakal miliki pusat asuhan kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Sebuah pusat asuhan kanak-kanak akan diwujudkan di Parlimen bagi membantu dan memudahkan tugasan anggota Parlimen serta warga kerja yang bertugas semasa Parlimen bersidang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, pusat asuhan kanak-kanak itu dijangka beroperasi pada tahun ini.

"Kami sudah kenal pasti tempatnya dan akan diubah suai dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Rantau Asia ‘Kepimpinan Politik Wanita: Mewujudkan Perubahan Positif’ di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Katanya keputusan untuk menwujudkan pusat asuhan kanak-kanak itu selaras dasar kerajaan bagi menggalakkan penyertaan lebih aktif kaum wanita dalam politik, pembuat dasar dan tenaga kerja.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata, pusat penjagaan berkenaan juga bakal memanfaatkan pengamal media wanita yang mempunyai anak kecil tetapi terpaksa bertugas melebihi tempoh biasa semasa persidangan.

“Jika saya sendiri berdepan masalah penjagaan anak, kalian juga berdepan masalah sama, justeru kita mulakan di Parlimen. Ia perlu bermula di sini (Parlimen),” katanya.

Katanya, kira-kira 500 pejabat kerajaan di seluruh negara masih belum menubuhkan pusat penjagaan kanak-kanak, didorong beberapa faktor.

Katanya, faktor utama yang menyumbang kepada perkara itu ialah ketiadaan dana dan ruang memandangkan banyak pejabat kerajaan merupakan bangunan yang disewa.

“Kami sedang menjalankan audit dan berbincang dengan setiap agensi dalam usaha membantu mereka melaksanakan perkara ini,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.