ad
NASIONAL

Litar pintas punca stesen minyak di Sungai Buloh ditutup sementara

9 Feb 2019, 2:12 AM
Litar pintas punca stesen minyak di Sungai Buloh ditutup sementara

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Litar pintas menjadi punca stesen minyak Petronas Bukit Rahman Putra di Sungai Buloh, Selangor ditutup sementara lebih dua jam, semalam.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dalam satu kenyataan di laman Facebook berkata, kementerian membuat pemeriksaan ke atas stesen berkenaan selepas menerima aduan daripada pengguna.

Katanya, semasa pemeriksaan dijalankan, anggota penguatkuasa KPDNHEP Selangor mendapati stesen minyak terbabit telah kembali beroperasi dan semua pam berfungsi.

Pengurus stesen berkenaan memaklumkan, penutupan terbabit dibuat pada kira-kira jam 3.30 hingga 5.45 petang disebabkan berlaku litar pintas di stesen itu.

KPDNHEP juga mendapati stok bekalan semasa di stesen itu mencukupi ketika pemeriksaan dijalankan.

Justeru, KPDNHEP menasihatkan pengusaha stesen minyak agar meletakkan notis pemakluman yang jelas kepada pengguna jika berlaku sebarang penutupan.

Sebelum itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengambil maklum ciapan di Twitter Bernama Radio yang menyatakan bahawa stesen minyak itu tidak beroperasi selepas pengumuman perubahan harga petrol.

Beliau mengarahkan KPDNHEP Selangor untuk segera menyiasat dan memberikan laporan penuh ke atas penutupan stesen minyak berkenaan.

SUMBER: BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.