ad
SELANGOR

Penduduk Telok Gong dan Pulau Indah terkesan pencemaran bau sisa plastik

24 Jan 2019, 7:35 AM
Penduduk Telok Gong dan Pulau Indah terkesan pencemaran bau sisa plastik
Penduduk Telok Gong dan Pulau Indah terkesan pencemaran bau sisa plastik

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 24 JAN: Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkataa, pihaknya sering menerima aduan daripada penduduk terutama di Telok Gong dan Pulau Indah yang terkesan dengan pencemaran bau khususnya akibat kegiatan memproses sisa plastik secara haram.

Katanya, terdapat juga sisa plastik yang dibuang di kawasan hutan kayu bakau sehingga menjejaskan ekosistem, di kawasan berkenaan.

"Tidak semua sisa plastik itu boleh diproses dan diguna semula. Jadi, mereka menghantar sisa ini ke tempat lain dan dibakar.

"Ini menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk khususnya pencemaran bau akibat pembakaran terbuka itu," katanya ketika ditemui dalam operasi bersepadu kilang plastik haram, semalam.

Beliau berkata, sikap pengusaha kilang membuang sisa ke kawasan penambakan tanah turut dilakukan.

"Ini berlaku di kawasan seperti Selat Damai dan kampung tradisi, di Pulau Indah," katanya.

Pada masa sama, Azmizam berkata, usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kerajaan Negeri melaksanakan operasi bersepadu kilang memproses sisa plastik haram wajar dipuji.

Beliau berkata, hal itu membuktikan kerajaan sangat bertegas terhadap kewujudan lambakan kilang yang bukan sahaja memproses sisa plastik, malahan diimport dari luar negara.

"Kita berterima kasih kepada pihak yang terbabit termasuk agensi Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Alam Sekitar yang bertungkus lumus menjalankan operasi.

"Justeru, saya berharap usaha ini dapat membendung kewujudan kilang haram, di negeri ini," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.