ad
NASIONAL

PDRM, INTERPOL terus kesan Jho Low

13 Jan 2019, 5:30 AM
PDRM, INTERPOL terus kesan Jho Low

GENTING HIGHLANDS, 13 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih aktif berhubung dengan Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi memburu ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya juga mengadakan beberapa sesi perjumpaan bersama pihak berkuasa China, bagi mengesan lokasi terkini Jho Low.

“Kita masih berhubung dengan INTERPOL. Ada juga bermesyuarat dengan pihak berkuasa China (membincangkan isu berbangkit),” katanya lapor BHOnline.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penutup Mesyuarat Peringkat Tertinggi PDRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Kali Ke-4, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Jho Low menjadi perhatian dunia kerana dikaitkan dengan skandal 1MDB, menyebabkan dia masih diburu pihak berkuasa di negara ini.

Sehingga kini, beberapa tindakan diambil untuk menjejakinya seperti membatalkan pasport antarabangsa milik ahli perniagaan itu oleh Jabatan Imigresen.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.