ad
SELANGOR

Jalan berlubang Kepong-Kuala Selangor dibaikpulih

14 Nov 2018, 12:56 AM
Jalan berlubang Kepong-Kuala Selangor dibaikpulih

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

JERAM, 14 NOV: Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor dan Kemasepakat Sdn Bhd dalam tindakan membaik pulih jalan raya di laluan FT054 Kepong-Kuala Selangor yang ditakungi air hujan sehingga menyebabkan kemalangan, di sini, baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri Jeram, Shaid Rosli berkata, JKR turut mengeluarkan arahan kepada pemaju berkenaan supaya dapat menyegerakan persiapan laluan kontra dan persimpangan terbabit.

Katanya, ia bagi memudahkan pengguna mengalami pemanduan yang lebih lancar, selesa dan selamat.

"Kita sudah memaklumkan kepada JKR Kuala Selangor berhubung perihal itu dan terkini mereka sudah mengeluarkan surat arahan kepada pihak pemaju supaya menangani isu takungan air tersebut dengan kadar yang paling segera.

"Malah, pihak pemaju juga diarahkan mengambil tindakan pencegahan supaya kejadian sama tidak berulang di kemudian hari," katanya kepada SelangorKini.

Pada 23 Oktober lalu, sebuah kemalangan dilaporkan berlaku di laluan berkenaan berpunca daripada takungan air hujan dan masalah itu mendatangkan pelbagai kesulitan kepada penduduk.

Justeru, Shaid berkata, sepanjang kerja penaiktarafan dijalankan, jalan utama itu akan ditutup dan dibuka semula kepada pengguna setelah proses penyelenggaraan selesai.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.