ad
NASIONAL

Pemilihan KEADILAN, JPP disaran lebih cekap

2 Okt 2018, 10:59 AM
Pemilihan KEADILAN, JPP disaran lebih cekap
Pemilihan KEADILAN, JPP disaran lebih cekap

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 OKT: Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) KEADILAN diminta lebih cekap mengawal situasi bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.

Calon Timbalan Ketua Wanita KEADILAN, Rodziah Ismail berkata, terdapat banyak insiden di beberapa kawasan membabitkan campur tangan pengawas yang menafikan hak wakil calon untuk memantau sepanjang proses pemilihan parti.

"JPP perlu mengambil maklum perkara ini kerana pengawas sepatutnya tidak boleh mengganggu proses pemilihan yang berlangsung.

"Saya menggesa pengawas dapat membantu pengundi dengan memberi tunjuk ajar dan bukannya mengundi bagi pihak mereka.

"Itu hak pengundi dan kita hanya bantu mereka pilih kerana sistem ini masih baharu,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Rakyat DUN Batu 3, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha yang menyifatkan sistem e-voting tidak sempurna selepas berlaku kekecohan dalam kalangan pemilih.

Bagaimanapun, Rodziah yang juga Ahli Dewan Negeri Batu Tiga berkata, sistem itu berfungsi dengan baik, namun terdapat beberapa kelemahan yang perlu ditambah baik.

"Sistem ini tidak banyak masalah tetapi ia perlu memiliki syarat liputan internet laju di kawasan berkenaan dan saya nampak ia lebih telus, malah keputusannya juga dapat diketahui dalam tempoh singkat.

"Saya optimis selepas ini JPP dapat menambah pengeluaran kod bar di setiap meja pendaftaran, sekali gus mengelakkan masalah pengundi menunggu terlalu lama," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.