ad
SELANGOR

Jalan ditutup dua bulan, penduduk diminta bersabar - ADN Seri Kembangan

23 Sep 2018, 8:52 AM
Jalan ditutup dua bulan, penduduk diminta bersabar - ADN Seri Kembangan
Jalan ditutup dua bulan, penduduk diminta bersabar - ADN Seri Kembangan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah meminta penduduk berhampiran Taman Perindustrian Bukit Serdang, di sini supaya bersabar ekoran penutupan jalan selama dua bulan.

Katanya, ia ekoran kerja pemasangan paip air dari Lebuhraya Sungai Besi ke takungan Bukit Dengkil, sekaligus menyebabkan Jalan PBS 14/7 di situ akan ditutup bermula 27 September ini.

"Memandangkan kerja-kerja dijalankan melibatkan hampir separuh daripada jalan itu, maka pihak yang bertanggungjawab memutuskan menutup lalu lintas atas alasan keselamatan.

"Semasa penutupan jalan ini, pemandu kenderaan perlu menggunakan jalan alternatif, ia terkecuali kepada pelanggan dan pemilik kedai yang terletak di sepanjang jalan terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir membuat tinjauan penutupan jalan itu, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Hian Wah berkata, pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya tidak meletakkan kenderaan berhampiran kawasan projek yang sedang berjalan untuk tujuan keselamatan.

"Pengguna jalan dinasihatkan untuk mematuhi papan tanda keselamatan dan arahan yang terdapat pada kedua-dua hujung jalan.

"Difahamkan projek sepanjang 13 kilometer ini akan disiapkan sekitar Mac 2019," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.