ad
NASIONAL

JPJ perlu kaji semula SOP kenderaan lelong

6 Ogos 2018, 9:02 AM
JPJ perlu kaji semula SOP kenderaan lelong

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 OGOS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diminta mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) bagi penilaian kenderaan lelong.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 Siri 1, JPJ didapati gagal menyediakan SOP jelas, terutama berhubung dokumen sokongan.

Laporan itu mengesahkan, semakan ke atas 122 sampel lelong di lima pejabat negeri terpilih bagi tempoh 2015 hingga 2017 mendapati semua kenderaan dilelong dikemukakan kepada bahagian Kejuruteraan Automotif (KA) untuk mendapatkan penilaian harga rizab.

Bagaimanapun, LKAN tidak menjumpai sebarang kertas kerja dan dokumen sokongan bagi mengesahkan harga rizab berkenaan.

"Temu bual pihak Audit dengan Bahagian KA mendapati penilaian harga rizab dibuat melalui semakan di laman sesawang seperti mudah.com.my dan carlist.com.

"Selain itu, faktor lain juga diambil kira antaranya kategori kenderaan mewah, biasa, popular dan tidak popular," katanya.

Kategori lain adalah usia kenderaan, keadaan fizikal kenderaan dan sama ada kenderaan boleh atau tidak boleh dilesenkan.

Justeru, Audit mencadangkan JPJ mengambil tindakan penambahbaikan antaranya mengkaji semula SOP meliputi prosedur lucut hak dan pelelongan kenderaan klon serta penentuan tempoh lelongan selepas keputusan mahkamah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.