ad
GLOBAL

Gempa Lombok: Lebih 500 pendaki terkandas di Rinjani

30 Jul 2018, 7:56 AM
Gempa Lombok: Lebih 500 pendaki terkandas di Rinjani
Gempa Lombok: Lebih 500 pendaki terkandas di Rinjani

LOMBOK 30 JUL: Lebih 500 pendaki bersama jurupandu mereka masih terkandas akibat tanah runtuh di sebuah gunung berapi aktif di sini, sehari selepas gempa bumi kuat melanda pulau peranginan Indonesia itu, kata seorang pegawai taman negara hari ini.

Helikopter dan pasukan penyelamat sudah dikerah ke cerun-cerun di Gunung Rinjani, yang menjadi laluan pendakian popular di kalangan pelancong.

"Dianggarkan seramai 560 orang masih terkandas. Lima ratus di kawasan Segara Anakan, manakala 60 lagi di Batu Ceper," kata ketua Taman Negara Gunung Rinjani, Sudiyono.

Seramai 16 orang terbunuh dan beratus-ratus bangunan musnah akibat gempa bumi cetek 6.4 magnitud itu, memaksa penduduk lari menyelamatkan diri pada awal pagi Ahad lalu.

Gegaran itu turut mengakibatkan runtuhan batu dan lumpur di Gunung Rinjani menyebabkan ramai pelancong terkandas.

Pegawai Agensi Pengurusan Bencana Lombok Utara, Asdiyanto berkata maklumat terbaru dari pasukan di lapangan hari ini berkata semua keluarga yang terbabit dengan tanah runtuh di Gunung Rinjani akan dipindahkan melalui laluan Sembalun.

"Ia akan dikendalikan oleh pasukan pengurusan dari Taman Negara Gunung Rinjani," kata Asdiyanto.

SUMBER: AFP/Reuters

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.