ad
SELANGOR

Pastikan haiwan kesayangan membiak secara terkawal - Veterinar

14 Jul 2018, 10:38 AM
Pastikan haiwan kesayangan membiak secara terkawal - Veterinar
Pastikan haiwan kesayangan membiak secara terkawal - Veterinar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 14 JUL: Jangan biarkan haiwan kesayangan anda membiak secara tidak terkawal, itu pesanan Pengarah Perkhidmatan Veterinar Selangor, Dr Hassuzana Khalil.

Katanya, disebabkan tiada kawalan, ramai pemilik kucing yang bertindak membuang haiwan berkenaan sehingga menjadi haiwan terbiar.

"Masyarakat perlu menolak budaya 'haiwan itu tiada hak' dan 'haiwan itu adalah gangguan', jika dilihat punca haiwan menjadi gangguan adalah berbalik kepada sikap manusia juga.

"Disebabkan itu kami daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor (DVS) mahu menggalakkan pemilikan bertanggungjawab di kalangan pemilik haiwan kesayangan, maka disebabkan itu, klinik veterinar DVS mempromosi pemandulan kucing jantan," katanya dalam ucapan ketika Hari Kebajikan Haiwan Negeri Selangor 2018 di Dewan Raja Muda Musa, petang tadi.

Hadir mencemar duli ialah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan turut berkenan merasmikan acara berkenaan yang dianjurkan julung kalinya oleh DVS di peringkat negeri itu.

Turut hadir isteri Dato' Menteri Besar, Masdiana Muhamad dan Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Norhisham Mohammad @ Mohd Isa.

Hassuzana berkata, sebelum ini Hari Kebajikan Haiwan hanya diadakan pada peringkat Persekutuan sahaja.

"Matlamat utama program ini supaya masyarakat bersikap lebih prihatin dan sayang kepada haiwan sekeliling tidak kira ia dipelihara ataupun tidak bertuan.

"Melalui program ini juga, DVS mempromosikan langkah menyelamatkan haiwan terbiar dengan mewujudkan gerai 'Kucing Angkat'," katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.