ad
BERITA UTAMA

e-dagang Selangor catat jualan RM 4.8 juta pada 2017

28 Jun 2018, 9:24 AM
e-dagang Selangor catat jualan RM 4.8 juta pada 2017
e-dagang Selangor catat jualan RM 4.8 juta pada 2017

NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 JUN: Lebih 300 syarikat yang menjalankan perniagaan e-dagang, di Selangor berjaya mencatatkan jualan RM4.8 juta, pada 2017.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan, Industri Kecil & Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato' Teng Chang Khim berkata, nilai jualan itu direkodkan menerusi 33,000 tempahan pembelian dalam talian sepanjang tahun terbabit.

"Perkembangan pesat komuniti e-dagang yang semakin jelas, pada 2016 mendorong kami untuk memberi ganjaran dan mengenali peniaga dalam talian terbabit yang merupakan pelayar di lapangan serta mewujudkan nilai juga semangat yang benar-benar membolehkan e-Dagang berkembang," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Pelancaran Pertandingan Peniaga e-dagang (ECM) Terbaik di Selangor Digital Creative Centre, i-City, di sini, hari ini.

Chang Khim berkata, Selangor Information Technology & E-Commerce Council (SITEC) sebelum ini turut memberi latihan kepada peniaga e-dagang melalui Akademi SITEC.

Katanya, sejak SITEC ditubuhkan pada 2015, seramai 4,000 peniaga e-dagang menyertai latihan yang disediakan.

"Akademi SITEC turut menyediakan lebih 200 sumber pembelajaran e-dagang seperti video dan persembahan slaid secara percuma untuk pihak yang berminat mengetahui lebih lanjut berkenaannya," katanya.

Terdahulu, Chang Khim melancarkan Pertandingan Peniaga e-dagang (ECM) Terbaik 2018 dengan pemenang akan diumumkan, pada 15 September ini menjelang Selangor Smart City & Digital Economy Convention 2018, di MITEC.

Pertandingan itu menyediakan hadiah wang tunai RM10,000 bagi pemenang pertama, RM5,000 (kedua) dan RM3,000 (ketiga).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.