ad
NASIONAL

Angkat sumpah baki barisan Kabinet 2 Julai

26 Jun 2018, 2:11 AM
Angkat sumpah baki barisan Kabinet 2 Julai

KUALA LUMPUR 26 JUN: Istana Negara memaklumkan istiadat mengangkat sumpah baki barisan Kabinet akan berlangsung di Istana Negara, pada 2 Julai ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sudah menerima senarai nama Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet pada 20 Jun lalu.

"Senarai nama Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan dikembalikan semula kepada Pejabat Perdana Menteri pada 22 Jun lalu.

"Pihak istana ingin memaklumkan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet akan diadakan pada 2 Julai di Istana Negara," katanya dalam satu kenyataan media, tengah malam tadi.

Beliau berkata kenyataan itu dikeluarkan bagi merujuk kepada laporan berita yang disiarkan Malay Mail Online bertajuk 'Cabinet List Delay? Dr. M says ball in Agong's court'.

"Pihak Istana Negara memohon agar semua pihak tidak melaporkan perkara yang bersifat negatif dan tidak tepat terhadap Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata baki senarai menteri telah dimuktamadkan dan akan mengangkat sumpah dalam masa terdekat.

Sebelum ini, 13 menteri Kabinet telah mengangkat sumpah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.