ad
SUKANKINI

Gol Ronaldo singkirkan Maghribi

21 Jun 2018, 2:30 AM
Gol Ronaldo singkirkan Maghribi
Gol Ronaldo singkirkan Maghribi

OLEH HAFIZAN TAIB

MOSCOW, 20 JUN: Jaringan tunggal Cristiano Ronaldo memastikan Portugal mencatat kemenangan pertama mengatasi Maghribi 1 - 0 dalam perlawanan Kumpulan B, pada Piala Dunia 2018.

Ia adalah gol keempat Ronaldo dalam kejohanan kali ini di mana sebelumnya mencatat hatrik ketika seri 3 - 3 bertemu Sepanyol dalam aksi perbukaan minggu lalu.

Kemenangan dalam aksi kedua itu meletakkan juara Eropah itu dalam keadaan selesa dengan empat mata serta mencerahkan laluan ke pusingan seterusnya.

Gol Ronaldo pada minit keempat itu berpunca dari sepakan sudut diambil Moutinho dengan bintang Real Madrid berjaya memperdayakan pertahanan Maghribi dengan satu tandukan kencang menerjah jaring.

Permainan menjadi rancak selepas itu dengan kedua-dua pasukan berusaha mencipta ruang serangan ke kubu lawan sementara Maghribi beberapa kali memperoleh peluang keemasan, namun kecekapan penjaga gol Portugal, Rui Patricio, menafikannya.

Ronaldo sendiri turut berpeluang menambah jaringan pada minit awal separuh masa kedua, namun menyaksikan percubaan dilakukan tersasar.

Ketua pasukan Portugal itu kini mendahului senarai jaringan dalam usaha memenangi anugerah Kasut Emas serta muncul penjaring gol terbanyak Eropah dengan 85 gol mengatasi lagenda Hungary, Ferenc Puskas (84).

Kekalahan kedua Maghribi itu menyaksikan mereka tersingkir daripada kejohanan selepas tewas 0 -1 kepada Iran dalam perlawanan pembukaan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.