ad
NASIONAL

Pamer perincian resit ujian elak caj tersembunyi

26 Mei 2018, 5:04 AM
Pamer perincian resit ujian elak caj tersembunyi

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 MEI: Kementerian Pengangkutan (MOT) meminta semua institut dan sekolah memandu untuk mempamerkan perincian setiap caj ujian dikenakan di dalam resit bagi mengelakkan kebarangkalian sebarang caj tersembunyi.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah menetapkan harga siling bagi kesemua jenis lesen dan pihak institut memandu perlu mematuhinya.

“Harga siling ditetapkan JPJ adalah RM350 bagi lesen B2 (Motosikal).

“Sebanyak RM1,150 dikenakan bagi lesen D (Motokar – Manual) dan RM1,250 bagi lesen DA (Motokar –Auto),” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, beberapa hasil lawatan ke JPJ dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) memberikan petanda positif khususnya dalam menentukan hala tuju agensi.

“Bagi mengatasi isu ketirisan dan penyalahgunaan mendapatkan lesen memandu, hala tuju JPJ kini adalah untuk mengambil pendekatan pengaplikasian automasi dalam semua peringkat proses ujian memandu.

“Ini termasuk cadangan pemasangan ‘dashboard camera’ di dalam kereta-kereta ujian bagi memastikan ketelusan ujian tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberikan jaminan tiada lagi sebarang nombor pendaftaran kenderaan khas diberikan kepada badan bukan kerajaan (NGO) mahupun badan kebajikan selepas ini.

Katanya, sistem e-bidding dilaksanakan bagi menjamin ketelusan dan integriti proses bidaan nombor pendaftaran kenderaan yang pada masa ini dijalankan secara tender manual.

“Pendekatan ini membolehkan capaian lebih luas kepada pengguna dan pemilik kenderaan berpeluang membida nombor kenderaan dari seluruh Malaysia dengan lebih mudah,” katanya.

=EZY=

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.