ad
NASIONAL

Anwar ke Jakarta penuhi jemputan BJ Habibie

20 Mei 2018, 4:14 AM
Anwar ke Jakarta penuhi jemputan BJ Habibie

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 MEI: Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terbang ke Jakarta hari ini bagi memenuhi jemputan mantan Presiden Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie sempena sambutan 20 tahun reformasi Indonesia.

Anwar berkata, Malaysia dan Indonesia masing-masing mempunyai persamaan apabila gerakan reformasi bermula pada tahun 1998.

"21 Mei 1998 diingati rakyat Indonesia sebagai tarikh jatuhnya rejim Orde Lama dan bermulanya zaman peralihan kuasa serta pengukuhan institusi-institusi demokrasi yang berlaku dengan pentadbiran Presiden BJ Habibie," katanya dalam satu kenyataan medianya di sini, hari ini.

Kata Anwar, sementara itu rakyat pula mengingati tarikh 2 September 1998 sebagai tarikh bermulanya kejatuhan rejim Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun katanya, perjuangan menumbangkan rejim di Malaysia itu hanya selesai kira-kira dua dekad kemudian iaitu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

Anwar melahirkan keyakinan pertemuan dan perbincangan dengan Habibie itu nanti akan mengeratkan lagi hubungan di antara dua negara kita, serta memperkukuh iltizam melaksana agenda reformasi di Malaysia.

 

=EZY=

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.