ad
NASIONAL

Cadangan BN bantu kos barang naik tak relevan

1 Mei 2018, 8:55 AM
Cadangan BN bantu kos barang naik tak relevan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 MEI: Calon Parlimen P118 Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa kedangkalan Umno-Barisan Nasional (BN) menerusi cadangan Program Jualan Sentuhan Rakyat (PJSR) yang kononnya dapat membantu keluh resah rakyat.

Beliau berkata, baru-baru ini ada calon BN memberi kenyataan bahawa parti terbabit berusaha menyelesaikan peningkatan kos barangan dan mengurangkan impak ekoran pelaksanaan GST.

Katanya, kenyataan itu jelas menggambarkan calon berkenaan dan BN mengakui GST adalah beban terhadap rakyat.

"Namun begitu penyelesaian yang dicadangkan begitu dangkal dan langsung tidak menyelesaikan masalah peningkatan kos barangan akibat pelaksanaan GST.

"Calon terbabit mungkin tidak faham cabaran yang dihadapi rakyat negara ini. Jualan Sentuhan Rakyat bukan penyelesaiannya, sama ada untuk pengguna, pekerja mahupun peniaga kecil," katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) berkata, Pakatan Harapan (PAKATAN) berjanji untuk menghapuskan GST dalam tempoh 100 hari pertama memerintah kerana sedar kesusahan rakyat yang belum mampu membayar cukai GST, terutama yang berpendapatan rendah.

Katanya, kepimpinan BN ternyata gagal dalam pelaksanaan GST kerana rakyat berpendapatan sederhana malah turut terasa impak berkenaan.

"Ada menteri pernah janjikan harga barang akan turun. Jika betul turun, tidak perlu buat Jualan Sentuhan Rakyat.

"Jika mahu GST dimansuhkan, undi Harapan," katanya.

=EZY=

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.