ad
NASIONAL

Lagi daftar pemilih meragukan, BERSIH 2.0 serah 80 aduan kepada SPR

24 Apr 2018, 6:52 AM
Lagi daftar pemilih meragukan, BERSIH 2.0 serah 80 aduan kepada SPR

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 24 APR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan lebih 80 aduan orang awam yang diterimanya sejak pembubaran Parlimen pada 7 April lalu.

Pemangku Pengerusi BERSIH 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, BERSIH 2.0 menuntut supaya SPR menjelaskan percanggahan ini dan mengambil tindakan segera bagi melindungi integriti daftar pemilih sebelum menjelang hari pengundian pada 9 Mei nanti.

"Aduan ini disahkan secara bebas oleh BERSIH 2.0 melalui semakan daftar pemilih terkini dengan versi lama.

"SPR juga sepatutnya menyediakan penjelasan bertulis tentang tindakan diambil menyelesaikan masalah diajukan setiap pembuat aduan," katanya kepada media selepas menyerahkan laporan terbabit di Ibu Pejabat SPR di sini, hari ini.

Jelasnya, 80 aduan diterima BERSIH 2.0 membabitkan 24 aduan nama terdapat dalam daftar pemilih walaupun tidak pernah mendaftar sebagai pemilih dan

14 pengadu namanya dipindah ke kawasan lain yang jauh tanpa pengetahuan.

Katanya, selain itu 16 nama turut dikeluarkan tanpa sebab, 20 permohonan tukar alamat tidak diproses atau kegagalan SPR memaklumkan bantahan telah difailkan, lima aduan berhubung nama individu sudah meninggal dunia dan bekas warganegara masih terdapat dalam daftar pemilih serta satu aduan ahli serumah dan alamat sama tetapi mengundi di tempat berbeza.

Sharul berkata, orang ramai boleh menghantar salinan aduan mereka kepada aduan.pemantau.org untuk membolehkan BERSIH 2.0 mengetengahkan masalah berkaitan dengan daftar pemilih seluruh negara.

"Adalah memalukan bagi SPR apabila sesetengah pengundi tidak dapat membuang undi mereka di kawasan sendiri disebabkan kegagalan SPR untuk meneliti permasalahan daftar pemilih sebelum pilihan raya umum berlangsung," katanya.

=EZY=

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.