ad
SELANGOR

31 keluarga terima hak milik tanah

20 Apr 2018, 8:27 AM
31 keluarga terima hak milik tanah
31 keluarga terima hak milik tanah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LANGAT, 20 APR: Penantian 12 tahun 31 penduduk Kampung Dusun Durian, di sini, terlerai apabila menerima geran hak milik tanah yang diduduki sejak sekian lama.

Geran itu disampaikan Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali dan setiap keluarga masing-masing menerima hak milik tanah seluas 1,000 kaki per segi.

Penerima geran, T Saraswathy , 40, berkata, penyerahan hak milik tanah itu membuktikan komitmen sebenar Kerajaan Negeri membantu rakyat mengubah kehidupan supaya lebih sempurna menerusi pendapatan terhasil daripada usaha dilakukan.

"Permohonan untuk mendapatkan geran hak milik kebun getah berkenaan dibuat sejak 2004 sehingga bapa meninggal dunia.

"Tetapi saya amat bersyukur dan lega kerana tempoh penantian begitu lama untuk mendapatkan geran tanah berakhir juga.

"Dengan adanya geran tanah ini, mudah bagi saya dan ibu mengusahakan tanah untuk mencari sumber pendapatan menyara empat adik-beradik," katanya ketika ditemui SelangorKini selepas Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Tanah dan Inisiatif Peduli Rakyat, di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi M Saravanan, 33, beliau menzahirkan perasaan gembira dengan harga premium

RM1,000 yang dikenakan Kerajaan Negeri.

"Isu geran tanah sudah terlalu lama dan kami pernah berjuang untuk mendapat harga premium rendah tetapi tidak mendapat sebarang berita," katanya.

Beliau berkata, pelbagai alasan diberi sepanjang pentadbiran Umno-Barisan Nasional, selain diskriminasi politik yang perlu dihadapi ketika memohon hak milik itu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.