GLOBAL

Tiga polis cedera, pertempuran di Sri Lanka

8 Mac 2018, 2:51 AM
Tiga polis cedera, pertempuran di Sri Lanka

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

COLOMBO, 8 MAC: Sekurang-kurangnya tiga anggota polis cedera dalam pertempuran di Menikhinna, pinggir daerah Kandy bagi menghentikan keganasan anti-Islam.

Menurut laporan AFP, polis melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan perusuh di kawasan perintah berkurung di tengah Sri Lanka itu.

"Tujuh orang ditangkap kerana melanggar perintah berkurung dan cuba mencetuskan kekacauan di daerah berbilang etnik ini yang juga sebuah destinasi pelancongan popular," katanya.

Ekoran itu, sekolah di seluruh daerah Kandy, terletak sekitar 115 kilometer ke timur Colombo ditutup, semalam.

Pada masa sama, kerajaan mengerahkan lebih ramai askar untuk membantu polis dan membendung kekacauan daripada merebak.

Lebih 150 kediaman, kedai dan kenderaan dibakar semasa rusuhan dua hari itu dengan dua orang terbunuh.

Sementara itu, situasi semakin tegang selepas mayat seorang pemuda Islam berumur 24 tahun dibawa keluar dari sebuah bangunan yang hangus.

Rusuhan antara penduduk Islam dan komuniti Buddha Sinhala tercetus selepas seorang lelaki Sinhala maut di tangan sekumpulan penduduk Islam minggu lalu.

*SUMBER: AFP

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.